TIPS BERAYA DI KAMPUNG… RAMAI YANG TAK PERASAN TAPI LEBIH RAMAI YANG BUAT TAK PERASAN

Assalamualaikum…
Bismillahirrahmanirrahim…
Segala puji hanya bagi Allah s.w.t serta salawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w..

Diam tak diam kita dah pun nak sampai ke penghujung Ramadhan. Tinggal lebih kurang 9 atau 10 hari je lagi kita akan merayakan Syawal. Sedih pulak rasanya bila terkenangkan yang Ramadhan bakal meninggalkan kita sekali lagi. Entahkan ada entahkan tidak peluang dari Allah s.w.t. untuk berjumpa Ramadhan sekali lagi. Apa pun, semoga Allah izinkan kita bertemu dengan penghujung Ramadhan kali ini.

Dengan hampirnya Ramdhan ke peghujungnya ni bermakna kita bakal bertemu Syawal tak lama lagi. Seronok? mestilah seronok. Syawal kan hari kemenangan kita umat Islam. Hari kemenangan setelah sebulan berjuang melawan nafsu sendiri. Antara topik-topik popular yang bakal timbul sekali lagi bila menjelang Syawal ni adalah topik balik kampung. Time raya nilah pun peluang nak kumpul ramai-ramai kat kampung. Tak kiralah sammada kat kampung sendiri ataupun kampung suami atau isteri.

Untuk kak Ti.. Tahun ni turn beraya kat kampung Tn SOSAB. Jaaaauuhhh sangat kampung dia tau. Nun kat Keramat Au nun.. Jauh kann..hahaha… Bukan kami je yang beraya kat Keramat tahun ni.. Tapi semua adik beradik Tn SOSAB pun akan beraya sekali.. Memang itulah tradisinya setiap tahun. Maknanya tahun depan jika Allah izinkan, kami semua akan balik ke kampung masing-masing pulak untuk beraya.Walaupun kami semua dari selangor dan KL je.. Tapi tetap sehari sebelum raya kami akan berkumpul kat rumah mak kat Keramat. Bila semua dah berkumpul memang meriah jadinya.

Seronok memang seronok bila berkumpul adik beradik ni.. Tapi kadang disebabkan perkara-perkara yang patutnya boleh dielakkan seronok tu jadi agak berkurang sikit. So.. Untuk mengelakkan timbulnya rasa kurang seronok tu, kak Ti nak share dengan uolls beberapa tips yang boleh dipraktikkan masa balik beraya. Tak kiralah kampung belah siapa.

1. BAWAK SETERIKA (IRON) SENDIRI
Sesi gosok menggosok baju ni biasanya akan kita buat malam raya betul tak. Time tulah semua orang nak gosok baju. Maka bermulalah sesi cop mengecop. Lepas kau turn aku pulak. Kena ada yang nakal sikit, dia main potong tang corner. Ada je kes disebabkan gosok menggosok ni sampai ke pagi raya masam muka. Untuk elakkan dari perkara ni berlaku, apa kata uolls bawak je seterika sendiri. Takpun nak lagi best, seterika je baju uolls tu awal-awal pastu dah boleh rileks.

Dah bawak seterika sendiri janagan lupa bawak kabel extension jugak tau..

2. BAWAK KIPAS SENDIRI
Bila balik kampung tu, masa nilah kita nak berkumpul lagi dengan adik beradik. Kalau yang rumah biliknya terhad, masa nilah nak tidur berjemaah. Yang perempuan kat bilik, yang lelaki kat ruang tamu. Sebolehnya elakkanlah tidur hotel atau tidur homestay.  Kecik hati mak pak dengan adik beradik lain. Mentang-mentanglah rumah mak pak panas takde air cond, kipas pulak terhad terus lari tidur hotel atau homestay. Lainlah kalau memang dah terpaksa sangat kan.. Kalau jenis tak tahan panas, angkutlah kipas sendiri bila balik kampung. Selesai masalah.

Hah.. Kan ke senang kalau bawak kipas sendiri.. Sebelum balik jangan lupa hulur duit letrik ya..

3. BAWAK TOTO SENDIRI
Balik kampung beramai ramai ni kan bukannya selalu. Setahun sekali belum tentu dapat peluang berjumpa ramai-ramai. Bila dah berkumpul ramai-ramai ni pandai-pandailah kita nak ringankan kerja mak pak kita. Setiap satu family bawak toto sendiri untuk family masing-masing. Bila semua dah balik, takdelah mak pak kita nak kena megadap toto yang kita adik beradik dah guna. Memanglah depa tak akan mengeluh.. Demi anak-anak semuanya ok. Tapi kita sebagai anak ni.. sendiri mau ingatlah kan..

Satu family bawak satu toto. Nak bawak lebih pun apa salahnya kan.. Kot ada adik beradik yang lupa bawak, bolehlah diorang pakai

4. SALING BANTU MEMBANTU
Suasana akan jadi lebih seronok bila semua saling berkerja sama, bantu membantu baik sesi mengemas ataupun sesi memasak. Ajarkan keluarga kita untuk ringankan tangan tolong mana yang boleh. Jangan sampai ada yang jadi tukang pemerhati je. Bila semua dah siap baru nak nampakkan muka takpun terperap je dalam bilik dengan alasan tak tau nak tolong apa. Pesanan ni sesuai sangat untuk yang baru berumahtangga tu. Dengan alasan tak biasa dengan cara beraya keluarga mentua, maka jadilah dia seorang pemerhati tegar. Hmmmm.. Dah kalau tak mau belajar masa tu.. bila masanya nak jadi biasa.

5. JAGA BATASAN AURAT
Dalam pada seronok berkumpul ramai-ramai tu..Jangan lupa untuk menjaga batasan aurat anatara ipar duai. Fahami peranan dan tanggungjawab masing-masing,, InsyaAllah pasti semuanya akan berjalan lancar.

Bila dah kumpul ramai-rami tu ringan-ringankan tangan tolong mana yag patut dan jangan lupa.. Batasan aurat tetap perlu dijaga..
Sumber gambar: blog towards mardhatillah

6. JANGAN BALIK KAMPUNG BERLENGGANG MAK LIMAH
Bila nak balik kampung tu, janganlah balik dengan tangan kosong je.. Bawaklah sorang sikit keperluan nak sambut raya kat kamapung. Paling tidak pun bawaklah kuih raya sebalang dua. Janganlah mentang-mentang balik kampung semua harap mak pak yang sediakan. Lagi satu bila kat kampung tu, ajaklah adik beradik keluar sama-sama beli barang dapur. Takdelah mak pak kita bahagia dalam tangisan.

Bukan susah pun.. Tunjuk-tunjuk je. Tapi kalau mampu buat sendiri mesti lebih seronok rasanya..

7. JANGAN LUPA HULUR DUIT RAYA
Walaupun kehadiran kita adik beradik dah cukup membahagiakan mak pak kita.. Tapi alangkah lebih baik kalau kita dapat hulurkan sedikit duit raya pada mereka. Hulurlah ikut kemampuan kita, sebab bukan jumlah yang penting tapi yang lebih penting tanda ingatan kita pada mereka. Bak kata orang jawa “It’s the thought that matters“.

Berapa pun nilai yang diberi itu bukan yang penting. Ynag penting tanda ingatan kitapada mereka

8.JANGAN MUDAH SENTAP
Adatlah bila berkumpul ramai-ramai tu kadang kita tak sedar dalam bergurau ada kasarnya. Sebagai adik beradik, ipar duai, biras beras.. Belajarlah berlapang dada tak payahlah sebab benda sikit je dah nak sentap bagai. Janganlah sebab bende kecik tu boleh mengurangkan keseronokan hari raya. Bukanlah maksudnya tak boleh bergurau langsung, tapi berguraulah dengan penuh berhemah. Kadang bagi kita adik beradik bende tu kita anggap gurauan je.. tapi mungkin bagi ipar duai yang masih kurang memahami keluarga kita menganggap serius gurauan tu.

9. ELAKKAN RIAK TANPA SEDAR
Bila berkumpul adik beradik tu tok sahlah nak berlawan cerita kehebatan keluarga masing. Bercuti sini bercuti sana, beli ini beli itu. Ingat-ingatkah sikit.. Mungkin ada dikalangan adik beradik kita tu yang rezekinya belum mengizinkan dia untuk menikmati apa yang kita ada. Hormati dan jagalah perasaan mereka.

10. CIPTAKAN MEMORI INDAH
Janganlah amalkan balik kampung kerana budaya. Baliklah ke kampaung kerana rasa kekeluargaaan. Kerana rasa rindu ingin bersama keluarga tercinta terutamanya mak dan pak kita. Bila ini yang kita lakukan, InsyaAllah pasti memori indah wak tu bersama akan tercipta dan terpahat dalam hati dan minda kita. Suatu saat pasti akan jadi kenangan terindah kita bersama keluarga tercinta.

Facebook Comments

9 thoughts on “TIPS BERAYA DI KAMPUNG… RAMAI YANG TAK PERASAN TAPI LEBIH RAMAI YANG BUAT TAK PERASAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *